Wednesday, December 24, 2008

Ilmu Menyuluh Hidup dan Memantapkan Iman


Putrajaya Mosque by Azizul Ameir

Ilmu adalah pengetahuan yang merupakan suatu rahmat yang amat bernilai yang diciptakan ALlah SWT kepada manusia. Seseorang yang berilmu itu dikatakan seorang yang beruntung kerana mendapat khazanah yang berharga yang boleh membuatnya hidup sejahtera dan bahagia di dunia dan juga di akhirat. Ilmu dunia dan ilmu ukhrawi adalah amat dituntut supaya kita mempelajarinya. Matan satu hadith yang biasa kita dengar menyuruh kita menuntut ilmu kerana ia adalah menjadi fardhu ain ke atas setiap muslim. Justeru itu kita disuruh dan digalakkan belajar sejak kecil lagi kedua-dua ilmu itu sehinggalah kita dimasukkan ke liang lahad.

Dari Abu Darda' r.a. berkata:"Saya telah mendengar Nabi s.a.w. bersabda:"Siapa yang berjalan di jalan untuk menuntut ilmu, maka ALlah akan memudahkan baginya dari jalan-jalan syurga. Dan Malaikat selalu menghamparkan sayapnya untuk menaungi orang yang menuntut ilmu kerana redha dengan apa yang dilakukan. Dan seorang alim itu dimintakan ampun oleh semua penduduk langit dan bumi dan ikan-ikan di dalam air; dan kelebihan seorang alim terhadap seorang ahli ibadah sebagaimana kelebihan bulan purnama dari lain-lain bintang. Dan ulama' itu sebagai pewaris dari nabi-nabi, dan nabi-nabi itu tidak mewariskan harta perak atau emas, tetapi mereka mewariskan ilmu. Maka siapa yang mendapatkannya (ilmu) bererti telah mendapat bahagian (keuntungan) yang sebanyak-banyaknya."

Proses dan cara menuntut ilmu duniawi dan ukhrawi ialah kita biasanya akan belajar secara formal di sekolah dan pusat-pusat pengajian tinggi samada kerajaan ataupun swasta. Bagi sesetengah daripada kita, setelah lulus pendidikan peringkat pengajian tinggi dan bekerjaya, proses pembelajaran dan menuntut ilmu itu seakan berakhir. Bagi mereka inilah masa untuk berehat (relax) dari belajar dan menumpukan masa hanya kepada kerjaya mahupun rumahtangga. Peringkat umur ini adalah biasanya sekitar 20an ke 30an. Bagi yang meneruskan pengajian, biasanya mereka akan mengejar ilmu duniawi seperti segulung diploma berpangkat sarjana ataupun doktor falsafah. Ini adalah sesuatu yang baik dan dituntut dalam Islam kerana Islam memerlukan ramai teknokrat yang sentiasa memajukan watan atau negaranya. Namun kerakusan manusia untuk mencari ilmu duniawi semata-mata untuk hidup senang di kemudian hari adalah satu langkah yang kurang bijak.

The Muslim Reading Quran by hamzakif

Dari Abdullah bin Mas'ud r.a.berkata: "Dua macam kerakusan yang tidak kunjung kenyang, iaitu yang menuntut ilmu dan yang mengejar dunia, tetapi keduanya tidak sama. Adapun yang menuntut ilmu maka selalu bertambah diredhai Allah, sedang yang mengejar kekayaan dunia bertambah merajalela dalam kesesatannya." Kemudian ia membaca ayat Quran bermaksud
" Sesungguhnya yang takut pada ALlah dari hamba-hambaNya ialah para 'ulama' (yang mengenal ALlah)."

Tidak kurang juga dari kita ada yang menuntut ilmu Islami seperti Pengajian Islam, Ilmu Hadith, Ulumul Quran dan seumpamanya di IPT. Langkah ini adalah sesuatu yang amat baik, tidak kiralah samada ianya bertujuan untuk memajukan diri dari segi ekonomi ataupun untuk mendalami ilmu itu sendiri. Tetapi ketahuilah, tidak semestinya kita mempelajari ilmu Islami atau ilmu duniawi itu secara formal sahaja di universiti atau kolej. Bagi yang tidak berkemampuan atau yang bijak berjimat, banyak tempat dan cara ilmu ini dapat diperolehi secara percuma atau murah, asal sahaja jiwa dan akal mereka mahu menerimanya. Mereka boleh mendapatinya di masjid-masjid, surau-surau, seminar-seminar, halaqah dari jemaah tertentu, internet, media massa dan seumpamanya. Jadi tidak ada alasan untuk kita tidak mencari ilmu Islami itu kerana ia senang diperolehi di mana sahaja di negara kita. Syukur alhamdulillah.

Ilmu Islami itu perlu diteruskan pencariannya selagi kita hidup kerana ia merupakan makanan ruhani. Sekiranya badan atau jasad kita memerlukan makanan untuk terus berfungsi dan hidup, ruh kita juga memerlukan makanan iaitulah ilmu berkaitan dengan Islam seperti ilmu tauhid, tasauf, tajwid, ilmu akhlaq dan seumpamanya. Jikalau tidak, hidup kita tidak akan seimbang.

Ruh kita akan terasa kosong kelaparan, menyebabkan jiwa kita sakit di dalam walaupun badan kita kelihatan sihat dan akal kita bijak lagi bernas. Apabila jiwa kita kosong, kita ibarat mempunyai sebuah gunung berapi yang tidur di dalam diri, menunggu ia meletus sahaja apabila bebanan masalah dan himpitan jiwa kita tidak tertanggung lagi. Itulah sebabnya ada yang sanggup membunuh diri bila terdesak, membunuh anak sendiri dan mencederakan orang lain yang ada pertalian darah akibat dari kekurangan 'zat' makanan ruh iaitu ilmu Islami yang dapat menyuburkan iman dan amal. Ilmu Islami dan amalannya adalah ibarat benteng terakhir yang dapat menyelamatkan diri, keluarga dan masyarakat kita hancur dek kerana perbuatan terkutuk yang boleh dilakukan manusia apabila mereka bertindak di luar batas kemanusiaan iaitulah pembunuhan, perompakan, perzinaan, perogolan dan bermacam lagi maksiat.

Penyakit jiwa seperti tekanan perasaan, tekanan mental, jiwa tidak tenteram, terlalu baran dan sifat-sifat mazmumah lain lahir dari hati yang tidak ada hubungan dengan Allah SWT, renggang atau kurang bertawajjuh ( berserah dan menggantungkan harap) kepada Allah semata-mata. Manusia akan hilang pedoman apabila mereka lama tidak mendengar tazkirah atau mendapat ilmu Islami yang mengisi ruh mereka secara berterusan. Melalui ilmu Islamilah kita dapat mengiratkan hubungan kita dengan ALlah, memantapkan iman dan taqwa, sekaligus menghubungkan silaturrahim yang baik dengan manusia. Inilah yang dikatakan memantapkan "hablumminAllah, wa hablum minannaas". -- hubungan dengan ALlah dan hubungan dengan manusia.

Abdullah Almubarak ketika hampir mati, ada orang disampingnya yang mencatat ilmu daripadanya, maka ketika orang itu ditegur: "Dalam keadaan yang serupa ini masih saja mahu menulis ilmu?" Jawabnya: "Kemungkinan ada kalimat yang berguna bagiku dan belum aku ketahui sehingga kini."
Dan Abdullah Almubarak ketika ditanya, andaikan kamu dituruni wahyu bahawa kamu akan mati pada sore hari ini, maka apakah yang kamu akan lakukan hari ini? Jawabnya:"Saya akan menuntut ilmu."
Lihatlah betapa bersemangatnya beliau dalam hal menuntut ilmu ini walaupun ketika beliau sakit.

Pada sesetengah orang, pada ketika kehidupan mereka sudah stabil dan anak-anak pula sudah besar, kekosongan di jiwa kekadang akan timbul di mana mereka merasakan kekosongan itu perlu diisi dengan menuntut ilmu Islami. Ramai dari mereka ini merasakan mereka perlu beres atau tahu secara mendalam akan ilmu tajwid, tauhid dan tasawuf misalnya. Pada umur sekitar 40an, mereka yang insaf dan sedar akan kepentingan ilmu ruhani ini akan mencari bagaimana untuk mengisi ketandusan ilmu Islam di dada mereka selama ini yang mereka "overlook" atau abaikan.

Ya..memanglah baik kesedaran ini datang, cumanya alangkah baik sekiranya mereka sedar lebih awal lagi, seawal umur 20 tahun misalnya. Pepatah ada mengatakan, bijak kalau kita "sambil menyelam minum air"..asalkan air itu suci dan halal. Jadi patutnya kita belajar ilmu Islami itu sejak dari kita belajar di IPT lagi, misalnya dan terus menerus belajar semasa berkeluarga dan bekerja. Kerana apa, diwaktu umur 40an itu mungkin kita ramainya yang sudah berpenyakit berat, atau tidak larat keluar ke masjid atau ke majlis ilmu, ditambah dengan kesibukan bekerja dan dihinggapi penyakit malas..! Tapi bagi yang ingin mencari ilmu itu, orang kata "you're never too old to study" (anda tidak pernah tua untuk belajar). Di mana ada kemahuan, disitu ada jalan.

Kita mungkin ada PhD dalam pelbagai bidang ilmu duniawi sehinggakan kalau kita terangkan pada manusia lain bidang atau ilmu kita pakar itu secara terperinci, orang tidak berupaya memahaminya kerana tahap kesukaran ilmu itu tinggi. Tapi janganlah pula kita banyak tidak mengetahui tentang hal ehwal agama Islam sehinggakan kita pula akan berkata pada sesuatu masalah agama.."Eh, ye ke ni.. aku tak pernah dengar pun!" -seolah-olahnya ia seorang yang tahu semua hal (namun sebaliknya) padahal ia cuma suatu aspek yang mudah dari banyak persoalan agama yang ada. Bukankah ia sesuatu yang mengaibkan bagi kita yg bergelar Dr (perubatan) atau PhD dibelakang nama kita? Justru, biarlah ilmu dunia dan ilmu agama kita seimbang. Carilah ilmu Islami selagi kita masih punya waktu.

No comments:

Post a Comment