Monday, July 5, 2010

Mazmumah dan Antivirusnya

Sifat Mazmumah adalah sifat-sifat keji yang boleh menghinggapi atau bersarang dalam diri manusia. Contoh sifat-sifat keji lagi negatif itu banyak iaitulah dengki, banyak makan, banyak bercakap, pemarah, bakhil, cintakan kemegahan, cintakan dunia, takabbur,'ujub -bangga diri, riya', dan seumpamanya.

1. Syarrut ta‘am (banyak makan)

  • Iaitu terlampau banyak makan atau minum ataupun gelojoh ketika makan atau minum.
  • Makan dan minum yang berlebih-lebihan itu menyebabkan seseorang itu malas dan lemah serta membawa kepada banyak tidur. Ini menyebabkan kita lalai daripada menunaikan ibadah dan zikrullah.
  • Makan dan minum yang berlebih-lebihan adalah ditegah walaupun tidak membawa kepada lalai daripada menunaikan ibadah kerana termasuk di dalam amalan membazir.

2. Syarrul kalam (banyak bercakap)

  • Iaitu banyak berkata-kata atau banyak bercakap.
  • Banyak berkata-kata itu boleh membawa kepada banyak salah, dan banyak salah itu membawa kepada banyak dosa serta menyebabkan orang yang mendengar itu mudah merasa jemu.

3. Ghadhab (pemarah)

  • Ia bererti sifat pemarah, iaitu marah yang bukan pada menyeru kebaikan atau menegah daripada kejahatan.
  • Sifat pemarah adalah senjata bagi menjaga hak dan kebenaran. Oleh kerana itu, seseorang yang tidak mempunyai sifat pemarah akan dizalimi dan akan dicerobohi hak-haknya.
  • Sifat pemarah yang dicela ialah marah yang bukan pada tempatnya dan tidak dengan sesuatu sebab yang benar.

4. Hasad (dengki)

  • Iaitu menginginkan nikmat yang diperolehi oleh orang lain hilang atau berpindah kepadanya.
  • Seseorang yang bersifat dengki tidak ingin melihat orang lain mendapat nikmat atau tidak ingin melihat orang lain menyerupai atau lebih daripadanya dalam sesuatu perkara yang baik. Orang yang bersifat demikian seolah-olah membangkang kepada Allah subhanahu wata‘ala kerana mengurniakan sesuatu nikmat kepada orang lain.
  • Orang yang berperangai seperti itu juga sentiasa dalam keadaan berdukacita dan iri hati kepada orang lain yang akhirnya menimbulkan fitnah dan hasutan yang membawa kepada bencana dan kerosakan.

5. Bakhil (kedekut)

  • Iaitu menahan haknya daripada dibelanjakan atau digunakan kepada jalan yang dituntut oleh agama.
  • Nikmat yang dikurniakan oleh Allah subhanahu wata‘ala kepada seseorang itu merupakan sebagai alat untuk membantu dirinya dan juga membantu orang lain. Oleh yang demikian, nikmat dan pemberian Allah menjadi sia-sia sekiranya tidak digunakan dan dibelanjakan sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah subhanahu wata‘ala.
  • Lebih-lebih lagi dalam perkara-perkara yang menyempurnakan agama seperti zakat, mengerjakan haji dan memberi nafkah kepada tanggungan, maka menahan hak atau harta tersebut adalah suatu kesalahan besar di sisi agama.

6. Hubbul jah (kasihkan kemegahan)

  • Iaitu kasihkan kemegahan, kebesaran dan pangkat.
  • Perasaan inginkan kemegahan dan pangkat kebesaran menjadikan perbuatan seseorang itu tidak ikhlas kerana Allah.
  • Akibat daripada sifat tersebut boleh membawa kepada tipu helah sesama manusia dan boleh menyebabkan seseorang itu membelakangkan kebenaran kerana menjaga pangkat dan kebesaran.

7. Hubbud dunya (kasihkan dunia)

  • Ia bermaksud kasihkan dunia, iaitu mencintai perkara-perkara yang berbentuk keduniaan yang tidak membawa sebarang kebajikan di akhirat.
  • Banyak perkara yang diingini oleh manusia yang terdiri daripada kesenangan dan kemewahan. Di antara perkara-perkara tersebut ada perkara-perkara yang tidak dituntut oleh agama dan tidak menjadi kebajikan di akhirat.
  • Oleh yang demikian, kasihkan dunia itu adalah mengutamakan perkara-perkara tersebut sehingga membawa kepada lalai hatinya daripada menunaikan kewajipan-kewajipan kepada Allah.
  • Namun begitu, menjadikan dunia sebagai jalan untuk menuju keredhaan Allah bukanlah suatu kesalahan.

8. Takabbur (sombong)

  • Iaitu membesarkan diri atau berkelakuan sombong dan bongkak.
  • Orang yang takabbur itu memandang dirinya lebih mulia dan lebih tinggi pangkatnya daripada orang lain serta memandang orang lain itu hina dan rendah pangkat.
  • Sifat takabbur ini tiada sebarang faedah malah membawa kepada kebencian Allah dan juga manusia dan kadangkala membawa kepada keluar daripada agama kerana enggan tunduk kepada kebenaran.

9. ‘Ujub (bangga diri)

  • Iaitu merasai atau menyangkakan dirinya lebih sempurna.
  • Orang yang bersifat ‘ujub adalah orang yang timbul di dalam hatinya sangkaan bahawa dia adalah seorang yang lebih sempurna dari segi pelajarannya, amalannya, kekayaannya atau sebagainya dan ia menyangka bahawa orang lain tidak berupaya melakukan sebagaimana yang dia lakukan.
  • Dengan itu, maka timbullah perasaan menghina dan memperkecil-kecilkan orang lain dan lupa bahawa tiap-tiap sesuatu itu ada kelebihannya.

10. Riya’ (menunjuk-nunjuk)

  • Iaitu memperlihatkan dan menunjuk-nunjuk amalan kepada orang lain.
  • Setiap amalan yang dilakukan dengan tujuan menunjuk-nunjuk akan hilanglah keikhlasan dan menyimpang dari tujuan asal untuk beribadah kepada Allah semata-mata.
  • Orang yang riya’ adalah sia-sia segala amalannya kerana niatnya telah menyimpang disebabkan inginkan pujian daripada manusia

Bagaimana pula untuk membersihkan diri dari sifat-sifat mazmumah ini?
Diantaranya melalui ilmu tasauf.Ilmu tasauf ialah ilmu yang menyuluh perjalanan seseorang mukmin di dalam membersihkan hati dengan sifat-sifat mahmudah atau sifat-sifat yang mulia dan menghindari atau menjauhkan diri daripada sifat-sifat mazmumah iaitu yang keji dan tercela.

Ilmu tasawwuf bertujuan mendidik nafsu dan akal supaya sentiasa berada di dalam landasan dan peraturan hukum syariat Islam yang sebenar sehingga mencapai taraf nafsu mutmainnah.

Syarat-syarat untuk mencapai taraf nafsu mutmainnah ialah melalui banyak bersabar, banyak menderita yang di alami oleh jiwa.

Siat Mazmumah juga boleh dilawan dan disingkirkan dengan mengamalkan sifat mahmudah melalui mujahadah dan tazkiyatun nafs. Sifat mahmudah itu adalah seperti berikut:

1) Taubat .

2) Khauf ( Takut )

3) Zuhud

4) Sabar.

5) Syukur.

6) Ikhlas.

7) Tawakkal.

8) Mahabbah ( Kasih Sayang )

9) Redha.

10) Zikrul Maut ( Mengingati Mati )

Imam Al-Ghazali r.a. telah menggariskan sepuluh sifat Mahmudah atau terpuji tersebut di dalam kitab Arbain Fi Usuluddin.

Sifat mazmumah dan mahmudah adalah berlawanan, kalau banyak sifat mazmumah maka sedikitlah sifat mahmudah yang dapat subur. Kadang-kadang bila terlalu banyak sifat mazmumah sehinggakan sifat mahmudah langsung tak dapat ruang untuk hidup dan menyubur di dalam diri. Mereka berkadar songsang antara satu sama lain.


Selagi mana sifat Mazmumah ada dalam diri, sifat Mahmudah sukar dapat masuk.Selagimana ada sifat Riya' agak susah

sifat Ikhlas dizahirkan. Selagimana ada sifat kedekut, sifat Pemurah agak susah dipraktikkan.


Virus-virus Mazmumah ini perlu dikikis dengan antivirus. Ia bukanlah dengan menggunakan antivirus-antivirus biasa, tetapi antivirus yang perlu kita install dalam diri kita adalah "antivirus at-taqwa" dan "antivirus Mahmudah". Dengan taqwa barulah diri kita terselamat dari virus-virus degil ni. Mari sama-sama kita memuatturun dan install antivirus-antivirus ini dalam diri kita, tidak mahal tapi perlu pada mujahadah yang tinggi dan berterusan kerana ada virus-virus lain yang sentiasa menyerang kita iaitulah syaitan dan nafsu bissu' (nafsu buruk) kita

sendiri. WaLlahu a'lam


Rujukan: Demi Qalam dan AlAzim.com


Sunday, July 4, 2010

Inginkan Ilmu Kebal dan Antivirus ‘Dosa' ?


"Ustaz, apakah hikmah berpuasa, dan bolehkah hikmah dan objektif diketahui?" Tanya seorang pelajar di UK kepada saya ketika minum bersama

"Bukankah hal ibadah tidak boleh diketahui hikmah dan objektifnya?, ye saya faham tentulah objektifnya sebagai ujian ketaatan kepada Allah, tapi apa lagi ye ustaz" tambahnya lagi sebelum saya sempat membuka mulut untuk memberikan jawapan.

Bagus, soalannya menunjukkan tahap ilmunya dan saya faham apakah bentuk jawapan yang diharapkan. Ia boleh dikelaskan soalan tahap intermediate.

Memang benar, berdasarkan kaedah fiqh yang mashyur dan dipersetujui para ulama merumuskan bahawa di dalam urusan ibadah umum dan hukum hakam berkaitan muamalat antara manusia dengan manusia, lebih mudah terlihat hikmah dan objektifnya. Lebih dekat pula dengan rasional aqal manusia. Contohnya, mengapa diharamkan gharardalam jual beli, judi dan sebagainya, rasional aqal tanpa iman pun sudah boleh memehaminya dengan baik.

Berbeza dengan hal ehwal ibadah khusus seperti solat, puasa, zakat dan haji. Hikmah yang berbentuk fizikal lagi rasional di sebalik setiap perinciannya mungkin sukar difahami, apatah lagi diterima rasional aqal yang tidak dibajai keimanan kepada hal ghaib.

"Ada sesetengah sarjana Islam berusaha memberikan logika dan objektif di sebalik puasa seperti agar dapat merasai keperitan golongan faqir miskin, merehatkan system penghadaman, menambah kesihatan dan macam-macam lagi." ulas saya

Namun semua itu kekal sebagai faedah-faedah tambahan dan sampingan sahaja, kerana itu bukanlah hikmah atau objektif sebenar bagi ibadah puasa.

"sebenarnya jawapannya ada di dalam firman Allah swt sendiri, dan objektif puasa itu dijelas dengan terang melalui nas dan bukan melalui istinbad atau ijtihad para ulama dan sarjana" terang saya sambil melihat tepat di mata saudara yang bertanya tadi.

"apa ye ustaz Allah kata?" sampuk pelajar ini dengan bersungguh.

Cuba lihat firman Allah yang amat popular di musim Ramadhan ini.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Ertinya :

Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa ( Al-Baqarah : 183)

Ada dua perkara yang suka untuk saya terangkan di sini secara ringkas.

OBJEKTIF PUASA & ANTI VIRUS DOSA

Kalimah ‘La'alla' di dalam ayat di atas boleh diterjemah kepada maksud, ‘agar' atau ‘semoga' atau ‘mudah-mudahan'

Kalimah ini menjadi tanda bahawa apa yang selepasnya adalah objektif kepada puasa. Kalimah ini memberi makna, pelaksanaan ibadah puasa mampu membawa seseorang untuk memiliki sifat taqwa, sebuah antivirus kepada segala jenis penyakit hati dan dosa.

Di dalam dunia fizikal dan material. Tanpa anti virus, swine flu, brid flu, Aids dan pelabagai lagi virus boleh menjadi asbab kepada kematian manusia.

Tanpa antivirus taqwa, iman dan islam seseorang juga akan mati, sama ada dia seorang kanak-kanak, remaja, dewasa atau tua.

Tanpa antivirus taqwa, manusia hari ini menjadi kelam kabut serta hina tanpa pedoman, hidup sering berpura-pura.

Anak berpura-pura baik di hadapan ibu ayah,

Murid dan pelajar berpura-pura di hadapan guru dan pensyarahnya,

Ibu ayah berpura-pura baik di hadapan anak dan para ustaz,

Para ustaz dan ustazah berpura-pura baik di hadapan khalayak ramai

Isteri berpura-pura baik di hadapa suami,

Suami berpura baik di hadapan isteri

Dan berpanjanganlah senarainya. Semua akibat ketiadaan antivirus dosa, iaitu TAQWA.

Kebaikan dan ibadah menjadi bertempat dan bertempoh, tiada istiqamah serta konsisten. Keredhaan dan pujian manusia lain menjadi objektif tertinggi, menyeleweng dari objektif sebenar.

Tatkala itulah hadirnya musim pemulihan, Allah swt sediakan peluang bagi manusia yang sifatnya asyik berdosa dan berpura-pura agar kembali membetulkan punca salah, bajai akar kehidupan dengan iman, sirami ia dengan air TAQWA selaku pencegah kepada kepura-puraan dan kecintaan kepada nikmat sementara dunia serta perbuatan dosa.

ILMU KEBAL, ISTIQAMAH DAN ‘KEKUATAN'

Pernahkah kita menjadi ibu bapa yang buntu serta terfikir, apakah caranya untuk mengajar anak agar tidak menjadi baik hanya dihadapan kita? Ingin kita berikan mereka ilmu kebal iman?

Pernahkah kita inginkan suami atau isteri yang kebal dengan dugaan nafsu, syahwat dan dosa di luar sana.?

Pernahkah kita ingin diri kita, untuk sentiasa mampu menjauhkan diri dari dosa dan maksiat?

Selalukah kita berdoa dan berkata"agar diberi kekuatan oleh Allah untuk terus itu ini..jauhi itu dan ini?

Sedarilah, inilah masa untuk mencipta ilmu kebal, mendapat anti virus dosa dan meraih ‘kekuatan' yang sentiasa kita ungkap-ungkapkan dalam ucapan dan tulisan kita. Jangan terleka dan terlalai!, Musimnya sudah tiba. Bulan Ramadhan dan ibadah puasa inilah jalannya, caranya, kaedahnya dan formulanya.

Taqwa inilah yang diwasiatkan oleh Allah awal-awal lagi kepada Nabi Adam a.s

يا بنى آدم قد أنزلنا عليكم لباسًا يوارى سوآتكم وريشًا، ولباس التقوى ذلك خير

Ertinya : Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutupi auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. Dan pakaian TAQWA itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat ( Al-A'raf : 26)

ERTI TAQWA

Kalau sudah mengerti, taqwa itulah objektif, apa pula taqwa itu sendiri?

Erti taqwa dari sudut letal adalah takut atau sentiasa jauh dan berhati-hati.

Namun taqwa dalam konteks istilah khas di dalam Islam, tidak hanya terhad kepada makna takut dan menjauh, tetapi ia juga membawa maksud cinta dan mendekat.

Taqwa ini tidak berbentuk fizikal, tiada bentuk hexagon, bujur, bulat atau bersegi, tidak pula bertablet dan berkapsul. Ia adalah satu SIRAMAN KEIMANAN DAN KEYAKINAN bentuk spiritual. Tiada terlihat dek mata, hidu oleh hidung dan terdengar di telinga.

Nabi s.a.w pernah menerangkan bahawa taqwa itu tempatnya di dalam hati. Bukan hati fizikal di dalam jasad, tetapi hati nurani di dalam diri.

Imam Ibn Kathir menerangkan di dalam tafsirnya, bahawa Umar Al-khattab r.a pernah satu ketika di tanya oleh sahabat Ubay bin Ka'ab r.a tentang erti taqwa, lalu dijawabnya:[1]

أما سلكت طريقاً ذا شوك. قال: بلى. قال: فما عملت.

قال: شمرت واجتهدت.

قال: فذلك التقوى،

Ertinya : Pernahkah engkau melalui satu jalan berduri?

Jawab Ubay : pernah

Umar : Bagaimana kamu lakukan?

Ubay : Aku sentiasa bersedia, peka dan berhati-hati dengan penuh usaha agar tidak terpijak duri

Umar : itulah juga sifat taqwa

Tepat sekali, itulah tanda taawa sudah tersemat di dalam diri, kesannya boleh dilihat dari perumpamaan yang diberi oleh Umar tadi. Apabila seseorang mempunyai kekuatan untuk terus berhati-hati dalam setiap tingkah laku, percakapan, tulisan, ibadah, niat, kerjaya, pelaburan, dan semua aspek, agar TIDAK MENCALAR redha dan hukum Allah swt, TIDAK mengundang murka Allah swt, tatkala itu. Antivurs dosa, iaitu TAQWA sedang berfungsi molek di dalam dirinya. Namun, tentulah kepenatan dan perlukan usaha bersungguh untuk tujuan itu?.

Tentu kerana baginda Nabi s.a.w telah menyebut bahawa lalau ke syurga adalah dengan duri-duri, sedangkan lorong ke neraka adalah dengan keseronokan dan syahwat.

Seorang lagi sahabat, iaitu Abu Darda r.a berkata :

تمام التقوى :أن يتقى الله العبد حتى يتقيه من مثقال ذرة، وحتى يترك بعض ما يرى أنه حلال ، خشية أن يكون حرامًا

Ertinya : Kesempurnaan taqwa itu adalah sentiasa seorang hamba itu sentiasa berjaga-jaga dengan Allah ( arahan dan larangannya) walau dalam hal sekecil zarah, sehingga dia akan meninggalkan sesuatu yang halal sekalipun, kerana takut jatuh di dalam yang haram.

Apa yang dikatakan oleh Abu Darda ini BERSUMBERKAN sebuah hadis nabi, yang ertinya :

لا يبلغ العبد أن يكون من المتقين حتى يدع ما لا بأس به حذرًا مما به بأس

"Tidak akan sampai seorang hamba ke darjat orang bertaqwa sehingga dia meninggalkan yang hal kecil yang mungkin tidak mengapa, kerana bimbang jatuh di dalam yang ditegah Allah' ( Riwayat Ahmad dan Al-Bukhari dalam At-tarikh)

Ali Bin Abi Talib merumuskan ciri taqwa itu sebagai :

التقوى هي الخوف من الجليل والإيمان بالتنزيل والرضا بالقليل والاستعداد ليوم الرحيل

Ertinya : Taqwa itu adalah :

a. TAKUT kepada (azab dan murka) Al-Jalil (Allah)

b. YAKIN teguh dengan apa yang diturunkan (seluruh inti Al-Quran)

c. REDHA dengan sedikit (nikmat dunia)

d. SEDIA menghadapi hari pemergian kematian)

Apabila semua yang disebut di atas sudah mampu diwujudkan, hidup akan menjadi lebih indah, tiada kepuraan, tiada banyak dukacita, tiada banyak kesedihan kerana dunia.

Akhirnya, apa yang ingin saya tegaskan melalui tulisan ini, adalah Taqwa itulah objektif dan hikmah kepada puasa. Yang memberi kekuatan fitrah kepada manusia setelah tercemar dimamah virus dan bakteria dosa. Agar kembali kepada fitrah, dengan pasakan kukuh taqwa sebagai antivirusnya. Hala tuju hidup menjadi jelas dan terang, redha Allah, kematian yang baik dan nikmat di alam selepasnya menjadi sasaran utama.

"Alhamdulilah ustaz, kali ni saya dah jelas" jawab pelajar tadi sambil mengangguk-angguk kepala dan tersenyum, mindanya mungkin ligat berfikir.

"Alhamdulillah, saya saya juga mampu meraih anti virus itu, bercakap dan menulis memang mudah tapi implementasi fizikal dan mengikhlaskan di dalam hati itu cabaran seterusnya." Balas saya sebagai kesimpulan.

www.zaharuddin.net

Salah menghitung atau salah perhitungan?

Di dalam al-Quran al-Karim terdapat perkataan hasiba serta pecahannya yang membawa maksud menyangka atau mengira. Selalunya perkataan itu didatangkan dalam bentuk soalan seperti ‘adakah kamu menyangka (أفحسبتم؟ ) atau larangan seperti jangan kamu menyangka (ولا تحسبن). Ayat-ayat sedemikian merupakan peringatan agar manusia tidak silap dalam membuat perhitungan.
Contoh-contoh kesilapan dalam membuat perhitungan ialah:
1. Golongan yang menyangka bahawa dia dicipta bukan untuk sesuatu tujuan tertentu. Dia menyangka bahawa Pencipta yang telah menciptakan dirinya dan memberinya kehidupan di dunia ini tidak mempunyai apa-apa tujuan atau matlamat dalam penciptaan-Nya. Maka dia menjalani kehidupannya yang sementara di dunia ini sekadar untuk memenuhi keperluan hawa nafsunya semata-mata. Perhitungan ini jelas salah. Mereka ditempelak oleh Allah di dalam firman-Nya yang bermaksud: “Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?” (Al-Mu’minun:115)
2. Orang yang ingkar dan jahat menyangka bahawa tidak tertimpanya azab atau bencana ke atas mereka itu menandakan Allah merestui tindakan mereka. Mereka menganggap sekiranya kejahatan mereka tidak direstui, pastinya mereka telah ditimpa balasan yang menyiksakan. Mereka sebenarnya silap kerana tidak memahami sunnah istidraj di mana Allah s.w.t. menangguhkan azab sengsara ke atas mereka supaya mereka menambahkan kejahatan disebabkan keengganan mereka bertaubat dan kembali kepada agama Allah yang lurus. Allah berfirman maksudnya: “Dan jangan sekali-kali orang-orang kafir menyangka bahawa Kami membiarkan (mereka hidup lama) itu baik bagi diri mereka; kerana sesungguhnya Kami biarkan mereka hanyalah supaya mereka bertambah dosa (di dunia) dan mereka pula beroleh azab seksa yang menghina (di akhirat kelak).” (Aali-‘Imran:178)

3. Penguasa yang zalim dan kejam terhadap rakyatnya menyangka bahawa mereka tidak mungkin dapat dikalahkan selama-lamanya. Tidak ada satu kuasapun yang dapat mengatasi pengaruh serta kuasa mereka. Mereka silap kerana tidak mengetahui atau melupai kewujudan Allah Yang Maha Kuasa, yang mencipta diri mereka, yang menghidup dan mematikannya. Allah telah berfirman maksudnya: “Dan janganlah orang-orang yang kafir itu menyangka (bahawa) mereka telah terlepas (dari kekuasaan dan balasan Kami); sesungguhnya mereka tidak akan dapat melemahkan (kekuasaan Kami).” (Al-Anfal:59)
Dan firman-Nya lagi bermaksud: “Patutkah orang-orang yang melakukan kejahatan menyangka bahawa Kami akan menjadikan mereka seperti orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dengan menyamakan keadaan (mereka semua) semasa mereka hidup dan semasa mereka mati? Buruk sungguh apa yang mereka hukumkan itu.” (Al-Jathiah:21)

4. Dan lebih teruk daripada itu semua ialah muslim yang menyangka dosa yang mereka lakukan adalah kecil sahaja. Sedangkan ia dihitung di sisi Allah sebagai dosa yang besar. Dia menyangka bahawa pada hari qiamat nanti dia hanya akan disiksa kerana melakukan dosa besar dan beranggapan bahawa apa yang dilakukan merupakan dosa kecil sahaja. Allah mengingatkan golongan ini dengan firman-Nya yang bermaksud: “…dan kamu pula menyangkanya perkara kecil, pada hal ia pada sisi hukum Allah adalah perkara yang besar dosanya.” (An-Nur:15)
Daripada Sahal bin Sa’ad r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Berwaspadalah kamu daripada dosa-dosa yang dipandang remeh. Perumpamaan dosa-dosa yang dianggap kecil adalah seperti satu kaum yang singgah di sebuah lembah, lalu setiap orang daripada mereka memungut sebatang ranting dan mengumpulkannya sehingga mereka dapat memasak roti mereka. Sesungguhnya dosa-dosa yang dianggap kecil itu jika dibalas, cukup untuk membinasakan pelakunya”. Musnad Ahmad.
‘Aisyah r.a. pernah berkata, Rasulullah s.a.w. telah berkata kepadaku (maksudnya): “Wahai ‘Aisyah, berhati-hatilah kamu dari dosa-dosa yang dianggap kecil. Sesungguhnya dosa-dosa yang dianggap kecil itu mempunyai hak untuk menuntut daripada Allah”. Riwayat Ibn Majah, Ahmad dan ad-Daramiy.

5. Orang yang menganggap iman itu cukup hanya sekadar dakwaan sahaja tanpa memerlukan pembuktian amal, sabar menanggung kesusahan dan tabah mempertahankan kebenaran. Anggapan ini juga salah. Allah s.w.t. berfirman maksudnya: “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.” (Al-‘Ankabut: 2 dan 3)

6. Golongan yang menyangka jihad mempertahankan Negara Islam tidak wajib ke atas mereka. Alangkah ramainya golongan yang beranggapan sebegini. Buktinya Negara Islam Palestin yang di dalamnya terletak masjid al-Aqsa telah dijajah oleh Yahudi dengan sokongan kuasa-kuasa kuffar lebih 60 tahun yang lalu. Namun ramai umat Islam yang tidak mengambil peduli sedikitpun. Lebih menyedihkan lagi ada yang beranggapan bahawa Palestin adalah tanggungjawab rakyat Palestin sahaja. Ia tiada kena mengena dengan kita di sini. Alangkah silapnya sangkaan ini! Islam telah menjadikan seluruh umatnya bersaudara laksana sebatang tubuh, jika sebahagian ditimpa sakit seluruh tubuh akan merana. Setiap inci daripada bumi umat Islam adalah menjadi tanggungjawab setiap umat mempertahankannya, apalagi Palestin yang di dalamnya terletak masjid al-Aqsa, qiblat pertama, tempat isra’ dan mi’raj Nabi s.a.w.