Thursday, December 25, 2008

Ghibah


Coffee Talk by andyi

Di akhir zaman ini, manusia seperti tidak ada perkara lain yg hendak dibicarakan melainkan kebanyakannya berkaitan dengan keburukan orang lain. Kebanyakan dari kita, buka sahaja mulut, tidak kira samada lelaki atau wanita, kejelekan oranglah yg ternampak dan diperkatakan walhal kejelekan sikap dan kekurangan diri sendiri, sejenak pun tidak ingin difikir dan diperkatakan. Begitu kronik penyakit ghibah atau mengumpat ini dalam masyarakat Islam sekarang.

Biasanya ghibah atau mengumpat ini dikaitkan dengan kaum wanita yang suka bergosip dan berbual apabila berkumpul sesama mereka, samada di tepi-tepi rumah atau di pejabat. Tetapi kaum lelaki juga tidak terlepas dari perbuatan yang dikutuk agama ini. Sering kelihatan mereka bercerita hal orang lain dalam nada berjenaka dan bergelak ketawa tanpa mereka sedari itu adalah ghibah. Contohnya mereka sering mengatakan, " Ah..mamat tu memang gitu.., suka meminjam tapi liat nak bayar...". Atau " Dia tu kuat berangan..!" atau, " Aku dah tak tahan dengan sifat baran dia tuh!". Itu semua adalah mengumpat..

Kini di akhir zaman, cakap berbentuk pengumpatan sebegitu seperti udara atau karbon dioksida yang cemar dihidu, berada di mana-mana. Pada zaman Nabi s.a.w dahulu, jika ada yang mengumpat, akan muncul suatu bau busuk seperti bangkai, tetapi sekarang dek kerana terlalu ramai orang mengumpat, bauan busuk itu tidak terhidu oleh manusia lagi. Sedarlah saudara semua, perbuatan mengumpat ini mampu sebenarnya memecahbelahkan masyarakat dan menimbulkan suasana kepura-puraan dan tidak harmoni di antara insan.

Ketika ditanyakan kepada seorang hakim (orang bijaksana): "Apakah hikmat dari busuknya bau ghibah itu?" Jawabnya: "Di masa Nabi s.a.w. Allah akan membuktikan kepada Nabi dan sahabat-sahabatnya (wujudnya ghibah di kalangan mereka), tetapi di masa kini kerana banyaknya ghibah itu sehingga hidung kita jika berbau yang demikian, maka tidak merasa busuk lagi bau itu, sebagaimana seorang yang pertama kali masuk ke tempat tukang samak, ia masa pertama kali itu tidak dapat tinggal lama kerana tajamnya bau itu menusuk hidung, tetapi ahli tempat itu dapat makan dan minum di situ dan tidak merasa bau apa-apa, kerana hidung mereka telah penuh dengan bau itu."

Abu Laith As Samarqandi meriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. berkata: Nabi s.a.w. bersabda ;"Tahukah kamu apakah ghibah?" Jawab sahabat:"Allah dan Rasulullah yang lebih mengetahui." Maka Nabi s.a.w bersabda:"Ghibah itu jika engkau menyebut (membicarakan) hal keadaan saudaramu yang ia tidak suka hal itu disebut atau dibicarakan kepada orang lain, maka itu bererti ghibah padanya." Lalu baginda ditanya; "Bagaimana kalau saudaraku betul begitu?" Jawab Nabi s.a.w.: "Jika kamu sebut itu benar, maka itu ghibah. Tetapi jika tidak betul, maka itu buhtan ( yaitu membuat-buat kepalsuan pendustaan untuk menjelekkan nama orang)."
Sekiranya kita menyebut: "Baju orang itu pendeklaa.. atau panjanglaa", itu juga bererti ghibah. Apatah lagi kita menyebutkan kekurangan fizikal atau kecacatan anggotanya, juga tingkah lakunya yang tidak disenangi.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari prasangka kerana sebahagian dari prasangka itu adalah dosa. Dan jangan menyelidiki kesalahan orang lain, dan jangan ghibah (mengumpat) setengahmu pada setengahnya. Apakah kamu suka sekiranya kamu makan daging saudaramu yang telah mati? Tentulah kamu jijik (tidak suka)" ( Al Hujurat: 12)


Talking People by marcoshanti


Ketahuilah, sekiranya kita mengumpat seseorang, kita diibaratkan telah menghadiahkan pahala amalan yang kita lakukan kepada orang yang kita umpati itu. Alangkah ruginya kita.! Sesia dan penat sahaja kita bersolat, berpuasa dan beramal soleh sekiranya kita suka mengumpat. Tiada apa yang mungkin tinggal pada kita dari amalan yang kita kerjakan di akhirat nanti walaupun di dunia ini kita telah banyak rasanya melakukan ibadah dan kita kononnya menjadi "orang surau" atau "kaki masjid". Kita mungkin termasuk dalam kategori orang yang muflis amalan di akhirat tanpa kita sedari..Betullah pepatah yang mengatakan "Sebab mulut, badan binasa".

Al Hassan Al Basri diberitahu: Bahawa .."ada orang (fulan) membicarakan keburukanmu (ghibah padamu). " Maka langsung ia mengirim kepada orang yang mengumpatnya setalam kurma rutab sambil berkata kepadanya:"Saya mendapat berita bahawa kamu yang menghadiahkan hasanahmu ( pahala kebaikanmu) kepadaku. Maka saya ingin membalas hadiah itu. Kerana itu harap diterima sebab saya tidak dapat membalas yang sesuai dengan pemberianmu itu."
Abu Umamah Al Bahili r.a. berkata: Seorang hamba telah diberi suratan amalnya pada hari Qiyamat, maka terlihat padanya hasanah-hasanah yang ia tidak merasa melakukannya, lalu ia bertanya:"Ya Tuhan, dari mana hasanah-hasanah ini?" JawabNya:"Itu dari apa yang orang ghibah (umpat) kau dan kau tidak sedar."

Ibrahim bin Adham berkata:"Wahai orang yang mendustakan. Engkau bakhil dengan kekayaanmu terhadap kawan-kawanmu, tetapi pemurah dengan akhiratmu (pahala amalanmu) kepada musuh-musuhmu. Maka engkau tidak untung kerana bakhil dan tidak terpuji kerana pemurahmu."
Anas bin Malik r.a. berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: "Empat macam yang membatalkan puasa dan wudhu' dan menghapuskan amal (merosakannya);
1.Ghibah (membicarakan keburukan orang) 2.Dusta 3.Mengadu-domba (menghasut dan melagakan orang) 4. Memperhatikan kecantikan wanita yang haram dilihatnya. Dan kesemua itu dapat meyuburkan bibit-bibit kejahatan sebagaimana air meyuburkan tunas tanaman, dan minum arak (khamar) itu mengatasi semua dosa-dosa."
Mujahid berkata:"Tiap anak Adam ada kawan dari Malaikat , maka apabila ia menyebut saudaranya dengan baik, maka disambut oleh Malaikat:"untuknya dan untukmu juga". Sebaliknya jika menyebut keburukan saudaranya, maka Malaikat itu berkata:"Engkau buka auratnya. Engkau perbetulkan dirimu dan ucapkan Alhamdulillah yang telah menutupi keburukanmu."

Ibrahim bin Adham diundang makan, dan diketika ia duduk, tiba-tiba ada orang berkata:"Fulan tidak datang." lalu disambut oleh yang lain, "Itu memang berat (tidak pandai bergaul)". Lalu Ibrahim bin Adham berkata:"Ini yang menjadi perutku berat ketika menghadiri makanan di mana kau ghibah pada seorang muslim." Lalu ia keluar dan tidak makan sampai tiga hari.
Di sini ia menunjukkan betapa ghibah itu dipandang sangat serius oleh ulamak terdahulu, berbeza dengan kita yang menjadikan ghibah seperti hobi seharian dan perkara enteng.
Lalu bagaimana caranya untuk bertaubat dari melakukan ghibah supaya amalan kita tidak hilang dari kita percuma sahaja dan berpindah kepada orang yang kita ghibah atau umpati. Adakah cara untuk mendapatkan hasanah kita itu semula setelah kita mengumpat seseorang itu atas apa jua alasan pun? Abul Laith Assamarqandi berkata: "Orang-orang membicarakan cara taubatnya orang yang ghibah, apakah boleh tanpa memberitahu kepada orang dibicarakan. Sebahagian menyatakan boleh dan
yang lain berkata tidak boleh. Menurut pendapat kami, jika ghibah itu telah sampai kepada yang dibicarakan, maka harus minta dihalalnya (dan minta maaf), dan bila belum sampai maka cukup dengan istighfar dan berjanji kepada Allah tidak akan mengulanginya."
Seorang datang kepada Ibnu Sirin dan berkata kepadanya:"Saya telah ghibah membicarakan keburukanmu, kerana itu halalkan dan maafkan bagiku." Jawab Ibnu Sirin:"Bagaimana saya akan menghalalkan apa yang telah diharamkan Allah." Seolah-olah Ibnu Sirin mengisyaratkan kepadanya supaya dia minta ampun kepada Allah di samping minta maaf kepada yang dighibah itu. Jika belum diketahui oleh orangnya, maka cukup dengan bertaubat kepada Allah disamping mendoakan baik bagi orang yang dahulu dighibah itu sebagai imbalan gantinya, dan tidak perlu memberitahu kepada orangnya supaya tidak merisaukan hatinya.

Walaubagaimanapun, tidak semua yang dighibahkan itu dianggap dosa. Ada tiga perkara yang tidak dianggap ghibah yang berdosa:
1. Menyebut kekejaman atau ketidakadilan raja atau pemimpin yang zalim
(pemimpin ini termasuk majikan, pemimpin masyarakat, jemaah atau kumpulan, ibubapa
dan orang yang dipertanggungjawabkan dgn orang bawahan atau anak didiknya)
2. Menyebut kerosakan akhlak orang yang terang-terangan
membuat jenayah atau kejahatan kepada orang lain
3. Menyebut keburukan pasangan (suami atau isteri) di dalam mahkamah
demi mencari keadilan atau menyelessaikan masalah rumahtangga.

Kesimpulannya, jauhilah ghibah yang banyak membawa keburukan pada diri
sendiri dan juga masyarakat yang boleh menjerumuskan diri kita ke dalam
neraka di akhirat nanti.


No comments:

Post a Comment