Saturday, February 20, 2010

Islahkan Dirimu

Untuk menjadi seorang Muslim yang baik, kita hendaklah sentiasa cuba memperbaiki diri kita dari semasa ke semasa dan spesifiknya dari sehari ke sehari. Kita tidak boleh berputus asa dalam melakukannya kerana mungkin kita akan berdepan dengan perkara-perkara yang menghindarkan kita dari mengislahkan diri kita dengan lebih baik Ingatlah perkara yang baik itu selalu dibisikkan oleh syaitan supaya kita lambat melakukannya atau melupakannya terus.

Praying by Jungle_Boy.

Misalnya, jika kita merasakan diri kita kurang melakukan amalan sunat atau amalan-amalan yang baik mengikut Islam, kita hendaklah cuba memperbaiki amalan kita itu. Katalah amalan itu adalah solat rawatib selepas solat fardhu yang kita sering rasa berat melakukannya. Kita sering memberi pelbagai alasan pada diri kita bahawa kita tiada masa untuk solat lebih kerana ada urusan lebih penting selepas itu dan kita berdoa pun ala kadar sahaja dan tidak khusyuk memohon doa itu dimakbulkan Allah.

Sekiranya kita bertekad untuk melakukan perubahan yang baik seperti mendirikan solat rawatib dan solat qiyamullail misalnya, kita kuatkanlah azam dan berdoalah kepada Allah supaya Allah menolong kita dapat melakukannya. Allah menyuruh kita dalam satu firmanNya, "Maka apabila kamu berazam, maka bertawakkallah kepadaNya". Percayalah, Allah akan menolong kita.

Begitu juga dengan kekhusyukan kita dalam solat, amat susah diperolehi terutama apabila kita berada dalam keadaan sibuk dan 'loghat'. Berusahalah untuk khusyuk dengan berdoa semoga Allah akan kurniakan kita khusyuk sebelum kita mengangkat takbir untuk solat itu. Berdoalah juga semoga Allah menerima solat kita itu. Kita tidak mahu solat kita itu 'dibalingkan kembali ke muka kita' dek kerana tiada kekhusyukam kita. Alangkah malang dan hina kalau berlaku sedemikian kepada kita. Tetapi selalunya kita tidak kisah kerana kita tidak nampak hal yg ghaib itu berlaku ke atas kita. Gerak hati orang yang beriman akan mengatakan, "solat ku ini tidak berapa baik. Tidak tenang dan semberono.., Ya Allah, ampunilah aku dan terimalah solatku".

Alangkah malang bagi kita seorang mukmin sekiranya amalan kita bertambah kurang selain dari ia bertambah buruk dari sehari ke sehari. Kita mesti terus mencuba untuk menjadi mukmin yang melakukan amalan semata-mata kerana Allah Azza wajalla dan bukan untuk dilihat atau diketahui oleh orang lain. Itu adalah satu amalan riya' dan merupakan syirik kecil dalam amalan kita kepada Allah.

Cintailah Allah dengan sebenar-benarnya kerana itu adalah kunci keikhlasan kita dalam melakukan amal ibadah kepadaNya. Kita akan biasanya melakukan yang terbaik dan dengan ikhlas untuk orang atau makhluk yang kita cintai tanpa syarat. Begitu juga dengan Allah. Kalau kita mencintai Allah, Allah akan lebih-lebih lagi mencintai kita. Jiwa kita akan terasa terisi dan selalu tenang. Jiwa inilah juga sebenarnya ruh yang sentiasa 'lapar' kepada amal Islami, ibadah yang wajib dan sifat-sifat mahmudah. Dengan mencintai Allah secara ikhlas, jiwa kita bukan sahaja akan tenang malah mendapat ganjarannya iaitu apa sahaja yang kita pinta dan inginkan akan mudah sahaja Dia makbulkan. Namun demikian sekiranya ia lambat dikabulkan, ia adalah ujian untuk kita jua.

Palestinian Muslims Praying in Jerusalem by jasonmoore.


Marilah kita menjadi orang yang beruntung yang hari ini lebih baik dari semalam dan esok adalah lebih baik dari hari ini. Ingatlah firman Allah ini selalu, yang bermaksud:
"Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka merubah apa yang ada pada diri mereka."
Cintailah Allah dengan ikhlas dan mujahadah serta istiqamahlah dalam melakukan amal yang disukaiNya. WAllahu'alam.

Muslim Woman Praying by Alex Crawford.