Wednesday, March 18, 2009

Al Ghurur



Al-Ghurur : Wabak Senyap Penyakit Hati





Al-ghurur (tertipu dengan diri sendiri) dalam etimologi bahasa membawa makna yang sama dengan al-khida’ iaitu penipuan, pada diri sendiri atau orang lain. Dari Istilah pula membawa definisi kekaguman ‘amilin pada diri sendiri hingga ke tahap menghina atau memperkecil-kecilkan setiap apa yang diusahakan oleh orang lain. Dalam bahasa mudah, satu sifat atau cara berfikir atau cara bertindak yang merasakan dirinya hebat sedangkan orang lain lekeh di pandangannya, berkaitan juga dengan sifat egoistik dan al-‘ijab binnafsi (ujub/hairan pada diri sendiri).

Reflection in Saif-ul-Malook Lake by Heartkins

Pendek kata, usaha orang lain dipandang pesimis sedangkan pandangannya dan ideanya di lonjakkan atau dilebih-lebihkan (exagerate). Kononnya hanya pandangannya sahaja yang betul, yang lain salah dan yang lain lemah. Lantas bertindak membuat provokasi dan menanamkan ciri-ciri inferiority complex kepada orang lain. Bagi para daei (pendakwah), sifat ini amat signifikan untuk dihalang dari menguasai fikrah, mentaliti, dan tindakan dalam gerakkerja,kerana ia mampu merosakkan kesatuan dan kekuatan kolektiviti dalam berorganisasi.

Dari konteks yang lebih luas, jika kita berada didalam organisasi, kita memandang organisasi kita adalah yang terbaik, terbagus tanpa kita melihat kepada aspek-aspek penyempurnaan yang belum terlaksana. Contohnya persoalan yang ditimbulkan dalam kerangka politik, gerakan Islam memperjuangkan untuk memenangi pilihanraya namun bagaimana dengan pengisiannya jika diberi kemenangan? Bagaimana nasib artis, bagaimana konsep kehakiman negara dan lain-lain? Untuk mengelakkan kita terjebak dengan al-ghurur, isu ini perlu diperbincangkan dan di ‘brainstorm’. Namun,saya meyakini kepimpinan yang ada sudah merangka strategi yang jelas untuk perancangan forecasting nanti.

Apa punca dan sebab timbulnya sifat al-ghurur ini?

1) Lalai untuk mengkaji dan memuhasabah diri.

Kegagalan seseorang untuk melaksanakan proses muhasabah atau check and balance dalam diri sendiri boleh menjadi pemangkin tumbuhnya gejala al-ghurur dalam diri. Bahkan Imam Al-Ghazali dalam kitabnya Ihya’ Ulumuddin menggariskan ujub dan takabbur antara sebab yang menimbulkan perasaan Hasad dengki (P.H.D), dan tentunya akibat gagal memuhasabah, timbulnya ujub dan takabbur.

Bila gagal mengkaji diri, timbul sikap suka memperlekehkan orang lain, dan memperkecilkan usaha orang lain yang membuat usaha yang sama sepertinya. Orang lain buat tak kena itu, tak kena ini, ada sahaja yang tak kena baginya. Jiwanya dan pemikiran sentiasa bertindak dengan minda kritikal tidak bertempat, diwakilkan dengan topi hitam, yang berciri kritikal sepanjang masa (6 Hat’s Thinking Theory from Edward de Bono/Teori 6 topi berfikir). Fathi Yakan menyatakan dalam buku Golongan Tercicir, antara sebab keciciran yang berpunca dari diri individu ialah tertipu dengan kedudukan dan bersikap menonjol diri. Ingatlah juga peringatan Allah SWT dalam Surah Al-Hasyr ayat 18.

Amalan muhasabah cukup signifikan kerana Rasulullah SAW mengisyaratkan dalam hadith yang berbunyi : “Orang yang berakal ialah orang yang sentiasa memperhitungkan dirinya dan mengerjakan amalan-amalan untuk bekalan mati” (Tirmidzi). Dengan kata lain dari hadis ini, orang yang tidak bermuhasabah ialah orang yang tidak berakal.

classic view of elfin lakes and opal cone by seawallrunner

Saidina Umar juga menyebut iaitu “hitunglah dirimu sebelum kamu dihitung dan timbangilah dirimu sebelum kamu ditimbang. Dan bersedialah kamu untuk menghadapi pengadilan yang maha besar”. Bahkan nama-nama besar dalam Islam seperti Umar Abdul Aziz juga sentiasa berbicara tentang kematian dan hari pembalasan. Mengenangkan hari al-hasyr wal jaza’ kelak.

Setiap insan mengalami perubahan dalam kehidupannya, dulu dia pernah lalai kepada Allah, kemudian bertaubat kembali ke jalan-Nya dan tidak mustahil dia akan mengulangi lagi kejahatan yang ditinggalkannya itu. Tidak ada insan yang maksum kecuali Nabi, maka sebagai insan biasa, dia perlu sentiasa menilai dirinya. Bayangkanlah jika setiap manusia memandang baik apa saja yang dilakukannya tanpa melihat perspektif orang lain, sudah tentu kezaliman yang akan berkuasa.

Sedangkan orang beriman sentiasa menganggap dirinya sebagai orang yang bersalah, banyak kelemahan dan takut tertipu dengan kelebihan Allah kurniakan kepadanya. Seperti mana orang takut ketika Allah menganugerahkan kebesaran dan kekayaan kepadanya, dia takut keselesaan diberikan di dunia ini akan menghalangnya merasai keselesaan di akhirat nanti.

Hatinya terlalu sensitif menghayati firman Allah yang bermaksud: "Barang siapa menghendaki kehidupan dunia dan perhiasannya, nescaya kami berikan kepada mereka balasan pekerjaan mereka di dunia dengan sempurna dan mereka di dunia itu tidak akan dirugikan. Itulah orang tidak memperoleh di akhirat, kecuali neraka dan lenyap di akhirat itu apa yang mereka usahakan di dunia dan sia-sialah apa yang mereka kerjakan. (Surah Hud ayat 15-16)

Orang beriman menimbang segala sesuatu dengan neraca al-Quran dan al-Sunnah Rasululah SAW. Apa-apa saja tindakan yang dilakukannya sentiasa dirujuk kepada dua kekuatan ini. Kejahilan menguasai petunjuk al-Quran dan al-Sunnah menyebabkan manusia menghalalkan dirinya untuk memutar belit ayat Allah dan Sunnah Rasul-Nya. Mereka mahu mempergunakan Islam untuk mendapatkan habuan. Sebagai mana firman-Nya yang bermaksud: "Dan apabila mereka dipanggil kepada Allah dan Rasul-Nya, supaya Rasul menghukum (mengadili) di antara mereka, tiba-tiba sebahagian mereka menolak untuk datang. Tetapi jika keputusan itu untuk memberi hak (kemaslahatan) mereka, mereka datang kepada Rasul dengan patuh." (Surah al-Nur ayat 48-49).

Apabila pendedahan ilmu amat kurang dan mereka hanya hidup di dalam suasana dan lingkungan sama tanpa pendedahan terhadap dunia luar berlainan fahaman dengan mereka menyebabkan mereka terus menerus berada dalam laluan sama. Kesilapan berulang berlaku kerana tidak mahu mengakui aib diri dan menolak pandangan orang lain. Semua yang dilakukannya seolah-olah nampak betul belaka, seolah-olah sesuai dengan al-Quran dan al-Sunnah tetapi pada hakikatnya dia tertipu kerana kesilapannya memahami ayat-ayat Allah, bahkan sebenarnya dia memperguna al-Quran dan al-Sunnah untuk menuruti nafsunya. Muhasabah mesti dilakukan dengan sandaran ilmu dan bimbingan orang lebih alim lagi warak terhadap dunia.

God's Light, Mono Lake by Lightchaser

Sesiapa mengabaikan muhasabah diri, maka dia seolah-olah tidak takut dengan hari penghisaban Allah. Berat timbangan amalnya sekali-kali tidak merunsingkan fikirannya. Sebagai mana disebutkan dalam firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya mereka tidak berharap (takut) kepada hisab. Dan mereka mendustakan ayat-ayat kami dengan sesungguh- sungguhnya. Dan segala sesuatu kami catat dalam suatu kitab. Kerana itu rasakan dan Kami sekali-kali tidak akan menambah kepada kamu selain daripada azab." (Surah Al-Naba ayat 27-30)


2) Lalai atau enggan menerima bimbingan.


Islam menggalakkan konsep ‘tawa saubil haq wa tawasaubis sabbr’ iaitu berpesan-pesan kepada kebenaran dan kesabaran. Bahkan Nabi SAW juga menegaskan bahawasanya agama itu adalah nasihat. Apabila simptom al-ijab binnafsi mendominasi sifat seseorang, ia akan menghalakannya kearah sifat al-ghurur. Kerana itu al-ghurur juga menjadi sebahagian ciri ego, menjadikannya bersifat ananiyyah dan tidak mahu mendengar pandangan, teguran serta bimbingan orang lain. Pandangan orang lain, padanya simplistik.

Bahkan individu hebat seperti Abu Bakar r.a dan Umar r.a juga membuka ruang kepada orang lain memberi nasihat dan bimbingan kepada mereka, walaupun mereka sahabat utama Nabi, walaupun mereka yang terjamin jejaknya di syurga. Seperti kata Abu Bakar : “Jika aku betul, maka tolonglah aku. Jika aku salah maka betulkan aku”. Sahabat Nabi yang mulia ini pun rela ditegur, dibimbing dan dinasihat, apatah lagi kita insan yang terdedah dengan kemaruk kemaksiatan di merata-rata, harus lebih terbuka mendapatkan bimbingan orang lain untuk mengelakkan penyakit al-ghurur.

Konsep ‘memberi’ dan ‘menerima’ perlu wujud untuk membentuk diri daei yang lebih mantap, seperti kata pepatah Inggeris “What you give, you take back”. Bahkan dalam konsep yang disebut oleh Stephen R.Covey iaitu “Seek to understand then to be understood” iaitu bersedia untuk memahami jika mahu difahami orang lain, juga boleh dipraktikkan. “Put yourself in their shoes” juga keperluan penting bagi daei dengan syarat, kita sedia di bimbing dan di nasihati, harus ada sikap ‘bersedia dibimbing untuk membimbing’.



3) Tasydid atau keterlaluan dalam agama.

Keterlaluan dalam memahami dan melaksanakan tuntutan agama juga menjadi penyebab lahirnya penyakit al-ghurur. Pada mereka (golongan al-ghurur), orang disekeliling terlalu bersifat sederhana dan mengambil pendekatan moderate, lantas mengatakan sahabat di sekeliling tidak serius dan mengabaikan tugas dalam jalan Allah. Lalu, diperkecilkan usaha orang lain disebabkan mereka tidak memahami nature agama itu sendiri. Rasulullah SAW sendiri menegur 3 orang sahabat yang tidak mahu berhenti beribadat, tidak mahu berbuka dan tidak mahu berkahwin semata-mata kerana teruja dengan ibadah Rasulullah SAW.

Realiti masyarakat Islam kini, berlaku juga amalan keterlaluan dan perbuatan bersifat takalluf (memberatkan) sedangkan Islam datang dengan mudah dan moderate. Contohnya amalan golongan tarikat dan golongan tasawwuf yang melampau. Golongan ini yang menolak konsep ibadah khusus seperti menyatakan solat cukup hanya dengan niat, puasa tidak wajib dan lain-lain jelas bertentangan dengan hukum Islam. Kebergantungan kepada sheikh atau tuan guru tarikat hingga menafikan kebergantungan dan ubudiyyah kepada Allah SWT turut menjejaskan aqidah umat Islam kini.

Sejarah Ikhwanul Muslimin juga menukilkan, ada golongan yang merupakan organisasi tahalluf IM iaitu Gerakan pemuda Mesir yang tidak memahami konsep tauhid hakimiyyah yang diperkenalkan oleh Syed Qutb dalam kitabnya Ma’alim Fitthariq dan mengambil tindakan isti’jal dan tasydid. Ketidakfahaman mereka dalam menafsirkan Islam secara betul mendorong tindakan mereka membakar dan merosakkan pusat-pusat hiburan di Mesir dan ia menjadi batu loncatan untuk kerajaan Mesir mengemukakan pertuduhan kepada IM dan Syed Qutb. Akhirnya, Syed Qutb syahid di tali gantung. Bahkan Hasan Hudaibi juga mengeluarkan buku Duat la Qudhah (Pendakwa Bukan Penghukum) sebagai refleksi kepada fenomena melampau yang dilakukan oleh puak Takfir wal hijrah.

Dalam kitab Al-Mutasaqitun 'Ala Thaqiruddakwah, Ustaz Fathi Yakan juga menggariskan sifat keterlaluan juga menjadi sebab keciciran seseorang daei, berpunca dari individu itu sendiri. Islam datang dalam bentuk azimah dan rukhsah, maka fahamilah Islam, janganlah terlampau takalluf juga jangan terlampau ta’assuf. Jangan kerana kepentingan sendiri, yang haram menjadi halal dan halal menjadi haram, kerana konsep ‘the ends justify the means’ kelolaan Nicollo Micheavelli bertentangan dengan asas usul fiqh “Al-Ghayah La Tubarrirul Wasilah” iaitu matlamat tidak menghalalkan cara.

Sheosar Lake by R a S h I d

Sikap melampau ini sebenarnya bukan ajaran Islam. Islam bersifat wasatiyah (sederhana) yang berpaksikan keadilan dalam memberi hak kemanusiaan sesuai dengan fitrahnya sebagai manusia yang banyak kelemahan. Di dalam mensyariatkan jihad, ada peruntukan damai dan perundingan, dalam qisas ada diyat yang boleh dibayar jika ahli warisnya bersetuju, dalam perkahwinan ada perceraian jika tidak dapat menyelamatkan iman kedua-dua pasangan.

Dalam jual beli dibolehkan berhutang atas dasar kejujuran. Islam menolak fahaman sufi melampau yang menolak perkahwinan, berlapar sepanjang masa sehingga meninggalkan kerja membina umat, bahkan ada pula orang Islam yang seolah-olah mengharamkan perceraian, mengkelaskan wanita di bawah lelaki padahal Islam nyata mengakui wanita sebagai saudara kandung lelaki, ada mengharamkan makanan dan minuman halal, dalam beribadah pula dicipta cara baru tidak pernah diamalkan Rasulullah, sahabat serta tabi' tabiin.

Muncul fahaman direka-reka, padahal syariat dibawa Baginda sudah sempurna. Apabila seseorang melampau dalam melaksanakan ajaran Islam sehingga terkeluar dari ajaran sebenar berteraskan al-Quran dan al-Sunnah, boleh jadi sikap melampaunya ini menyebabkan dia membenci orang lain yang tidak sefahaman dan bersikap fanatik buta tanpa ilmu.


Tunduk kepada dunia.

Disebabkan terlalu bercita-cita menggenggam dunia, seseorang terpaksa melakukan penyelewengan dan kezaliman terhadap orang lain. Semua orang sedaya upaya mahu memanfaatkan segala untuk kepentingan diri dan keluarga.
Pencinta dunia ini seolah-olah lupa, hakikat kesenangan itu baginya hanyalah satu permulaan dari episod azab yang akan dilaluinya sepanjang masa hingga berhadapan dengan Allah.

Imam Ahmad meriwayatkan suatu hadis yang bermaksud: "Apabila kamu melihat Alah SWT memberikan harta benda yang disenangi oleh seorang penderhaka maka ketahuilah oleh itu adalah istidraj."

The Gable Mansion, Woodland Ca by Camera wanna-B


Beliau kemudian membaca firman Allah dalam surah al-An'am ayat: 44 bermaksud; "Maka tatkala mereka melupakan apa yang diberikan kepada mereka, Kami pun kemudian membukakan pintu kesenangan untuk mereka, sehingga apabila mereka bergembira dengan apa diberikan kepada mereka, Kami seksa mereka dengan tidak disangka-sangka, maka ketika itu mereka terdiam berputus asa."

Semua bentuk kejahatan dan dosa yang dilakukan manusia berpunca daripada perhiasan dan kesenangan dunia haram lagi melampau. Dunia menipu itu akan semakin ganas memporak-porandakan iman di jiwa insan jika ia tidak dikawal oleh iman.

Padahal Rasulullah sudah berwasiat bermaksud: "Kesenangan dunia jika dibandingkan dengan kesenangan akhirat tiada lain kecuali bagaikan seseorang yang memasukkan jari-jemariya ke dalam lautan, kemudian lihatlah berapa banyak ia dapat mengambil air?"(Hadis riwayat Imam Ahmad dan al-Tirmizi).

Tiga punca manusia terpesona dengan diri sendiri dan cenderung menghina orang lain sememangnya mesti dihayati setiap saat dalam kehidupan orang beriman, supaya mereka dapat menjaga diri dari penyelewengan yang tidak dijangkakan pada zaman fitnah ini.

Kesimpulannya

Apabila semangat keegoan, asabiyah dan ghurur merasuk dalam hati seseorang, dia akan berfikir dan bertindak mengikut hawa nafsu. Agama tidak lagi dijadikan rujukan, bahkan tiada sesuatu pun yang dapat menghalang daripada menzalimi orang lain. Kerana mereka yang berpenyakit ghurur ini menganggap apa saja mereka lakukan adalah benar dan tidak sedikit pun perbuatan mereka itu menyalahi agama dan syariat.

Al-Quran menceritakan perangai manusia tertipu dengan kehebatan dirinya sendiri seperti firman Allah bermaksud: "Katakanlah, mahukah Kami beritahukan kepadamu mengenai orang yang paling merugi perbuatannya? Iaitu orang yang sia-sia perbuatannya dalam kehidupan dunia ini, sedangkan mereka menyangka bahawa mereka berbuat sebaik-baiknya." (Surah al-Kahfi ayat 103-104).

Jika penyakit ghurur ini berjangkit kepada pemimpin, dia akan bertindak secara autoritarian, zalim dan kuku besi ke atas orang dipimpinnya. Jika rakyat menghidap penyakit ghurur tentu akan terheret ke dalam gerakan pemberontakan, penderhakaan dan fitnah yang akan membawa huru-hara dalam masyarakat.

Akhlak Islam sejati yang menggesa ke arah ukhuwah dan persefahaman dengan semangat musyawarah iaitu perundingan secara telus dan adil terus diketepi. Akhirnya umat Islam terus menerus dilanda konflik sesama sendiri.


(Kombinasi Penulisan Dr MAZA dan Ulum Cordova)

No comments:

Post a Comment