Thursday, December 25, 2008

Amar Ma'aruf Nahi Mungkar



Sermon in the Omayyad Mosque by Matthew Wireman


Mutakhir ini, banyak kedengaran gejala sosial, kemungkaran dan jenayah yang berleluasa di negara kita ini. Tidak kira di mana, ia berlaku di kota, pekan dan desa lebih kurang sama sahaja.

Kemungkaran dan gejala sosial itu adalah seperti budaya hedonisme (berhiburan melampau spt Black Metal, Punk, Skin Head, Jom.. ), pergaulan bebas, perzinaan (rumah urut, bohsia, homoseksual), budaya kaki botol, kecurangan, sumbang mahram, perjudian, penagihan dadah (ekstacy, ice, shabu) dan merempit. Manakala jenayah pula ialah seperti pembunuhan, perogolan, peragutan, perampokan, peras ugut, rasuah dan seumpamanya. Senarainya dari sehari ke sehari malangnya bertambah panjang.

Bagi Muslim yang mempunyai jiwa yang sensitif dan iman yang mantap, mereka tidak akan berasa tenteram dengan situasi ini dan akan cuba berbuat sesuatu iaitulah dengan melakukan amar ma'aruf nahi mungkar sedaya yang mampu. Ali bin Abi Talib r.a. berkata: "Seutama-utama amal ialah amar ma'aruf dan nahi mungkar (menganjurkan kebaikan dan mencegah kejahatan) dan membenci orang yang fasiq (melanggar hukum)."
Kita akan dikira bersubahat sama sekiranya kita mengetahui atau hanya melihat sahaja kemungkaran yang berlaku di depan mata (dalam masyarakat atau dalam rumahtangga ) tanpa berdetik hati kita untuk bertindak atau sekurang-kurangnya membenci perbuatan mungkar itu.

Abul Laith meriwayatkan dengan sanadnya dari Jabir r.a. berkata: Nabi s.a.w bersabda:"Tidak terjadi pada suatu kaum seorang yang berbuat durhaka, sedang mereka dapat
menghentikannya, tetapi mereka tidak mencegahnya, melainkan Allah akan meratakan pada mereka siksaannya sebelum mereka mati."

Abul Laith meriwayatkan dengan sanadnya dari Umar b Abdul Aziz berkata: "Sesungguhnya Allah tidak menyiksa orang-orang umum kerana dosa-dosanya orang-orang yang tertentu , tetapi apabila dosa itu merajalela dan terang-terangan kemudian tidak ada yang menegur, maka bererti semuanya sudah layak menerima hukuman."

Sebenarnya kita telah dipertanggungjawabkan oleh Allah s.w.t untuk berdakwah, di antaranya menyeru kepada amar ma'aruf dan nahi (mencegah) mungkar. Firman ALlah s.w.t.:"Harus ada dari kamu golongan yang mengajak kepada kebaikan, dan menganjurkan segala ma'aruf (yang baik) dan mencegah mungkar dan merekalah orang-orang yang berjaya (beruntung)" (Ali Imran:104). Allah juga mencela orang-orang yang tidak suka mencegah mungkar atau tidak berbuat apa-apa dalam ayat 79, surah
Al Ma'idah," Mereka tidak saling mencegah dari perbuatan mungkar yang mereka perbuat. Sungguh buruk perbuatan mereka itu."

Bukannya mudah untuk berdakwah atau menasihati orang lain untuk melakukan amar ma'aruf dan nahi mungkar ini. Kebanyakan orang walaupun tahu sedikit sebanyak ilmu tentang apa yang disuruh dan apa yang di larang dalam Islam, mereka tidak berani ke depan menasihati orang lain secara tebuka dalam artikel atau bersuara kerana malu atau tidak suka menyentuh perasaan orang lain, takut nanti hilang pengaruh di kalangan kawan dan kenalan.

Tetapi ketahuilah kalau kita tidak berani melakukan dalam bentuk tulisan atau bersuara, sekurang-kurangnya kita boleh menasihati rakan atau ahli keluarga kita secara perseorangan, 'one to one'. Sekiranya dia masih tidak berubah, kita boleh meminta orang lain yang dihurmatinya pula untuk menasihati supaya dia melakukan yang ma'aruf atau meninggalkan yang mungkar. Kalau kita suka berinteraksi melalui internet, kita boleh 'forward' artikel yang baik, berupa nasihat dan peringatan kepada egrup yang kita sertai. Berdakwah kini adalah lebih cepat dan mudah, sekiranya kita mahu. Di samping itu kita kenalah pertingkatkan budi dan akhlak mulia dalam diri kita pula sekiranya kita mahu menasihati orang lain. Ayat Quran yang selalu kita dengar ialah, "Berilah peringatan, sesungguhnya peringatan itu berguna bagi orang yang beriman." Ayat lain pula mengtakan,"Kamulah sebaik-baik umat yang dilahirkan kepada manusia kerana menganjurkan kebaikan dan mencegah yang mungkar dan beriman kepada ALlah." (Ali Imran, 110)

No comments:

Post a Comment