Wednesday, December 24, 2008
Analogi Solat
Solat (solah) adalah tiang agama dan amal ibadah pertama yang akan dihisab di akhirat nanti. Amalan hati yang pertama dikira pula ialah keimanan kita pada ketauhidan ALlah SWT.
Sekiranya solat kita diterima sebagai sah dan Lillahi ta'ala, amalan lain juga ada harapan untuk diterima.
Di akhirat nanti ada sebanyak tujuh kaunter (qantarah) untuk menilai atau menghisab amalan kita. Kaunter yang pertama itulah kaunter yang akan menilaikan keimanan manusia kepada Allah SWT. Manakala kaunter kedua ialah untuk menghisab solat manusia. Sekiranya kita beres di kaunter kedua kerana solat kita sempurna, barulah kita akan dibenarkan ke kaunter seterusnya, kaunter menghisab amalan wajib dan muamalat lain seperti puasa, zakat, haji dan seumpamanya. Perjalanan antara satu kaunter dengan yang lain adalah beribu tahun, dan amalan baik atau buruk seseoranglah yang dapat mempercepatkan atau melambatkannya sampai ke sesuatu kaunter. Mengikut buku Bagaimana Meniti Siraat Al Mustaqim, ada riwayat yang mengatakan tempoh melintas siraat itu bagi Muslimin memakan masa di antara 10000 ke 28000 tahun mengikut amalan mereka, sementara yang paling singkat sekali ialah sekelip mata!
Sehari semalam, seorang muslim itu hanya diwajibkan bersolat 5 waktu solat fardhu sahaja. Sekiranya kita mahu mengerjakan yang lebih, itu adalah solat tatawu' atau solat sunat yang amat baik untuk menambah pahala kita atau menampung kekurangan di dalam solat fardhu dek kerana tidak khusyuk dan gopohnya kita bersolat. Bagi seorang muslim yang mukmin dan istiqamah, bab ibadah solat adalah dipandang berat dan dijaga dengan sebaiknya agar tidak ada satu waktu pun yang ketinggalan dan berusaha supaya khusyuk semasa melakukannya.
Tetapi bagi mereka yang liat melakukan solat atau kurang keimanannya, hanya melakukannya apabila tidak sibuk, berada di dalam keadaan senang seperti di rumah dan apabila dirinya sihat secara fizikal. Dalam keadaan sibuk dengan pekerjaan di pejabat atau luar pejabat, berada dalam musafir, atau sakit terbaring di katil serta mereka yang terkena musibah, mereka akan membuat pelbagai alasan untuk diri sendiri. Bagi yang sibuk dengan kerja, alasan seperti tak dapat mendirikan solat kerana tak sempat - kerja lebih penting untuk dibereskan dulu..(sambil hati berkata..nanti akan qada' solat bila balik rumah nanti: ada pulak yang tidak berniat langsung untuk qada').
Kalau di perjalanan atau bermusafir alasannya susah nak bersolat kerana tidak dapat bertaharah dengan sempurna atau malu serta susah untuk berwuduk atau air tidak ada serta tidak tahu bertayammum. Ini adalah terutamanya bagi mereka yang bermusafir di luar negara. Di dalam negara, tiada alasan kerana musolla dan masjid berada di mana-mana sahaja. Dalam kenderaan awam seperti kapalterbang, keretapi atau bas, mereka malu untuk bersolat kerana tidak mahu di pandang pelik atau berfikiran- nanti orang lain menganggap mereka nak tunjuk alim...! Bagi yang sakit pula, alasannya ialah dirinya tak upaya untuk bangun dan susah berwuduk dengan balutan luka sekiranya ada, serta pelbagai lagi alasan untuk tidak melakukannya di samping menyalah anggap bahawa Allah itu maha pengampun dan memahami dirinya yang sedang susah dan sakit. Bagi mereka yang terkena musibah seperti bencana banjir pula mungkin akan memberi alasan tidak bersolat kerana mereka dalam kesusahan dan kehilangan peralatan ibadah seperti telekong dan sejadah, tiada tempat bersih untuk bersolat dan seumpamanya. Lalu masa berlalu begitu sahaja berhari-hari tanpa bersolat, tanpa mereka mengambil inisiatif untuk bersolat, walhal Allah mendatangkan sesuatu keadaan baik sibuk, sakit atau musibah itu adalah untuk menguji kita adakah kita akan mengingatiNya dengan mendirikan solat sebagai menyatakan rasa syukur, di samping untuk memohon pertolongan dariNya supaya melepaskan diri dari kesusahan (musibah), marabahaya (sekiranya di perjalanan) dan memberi kesembuhan (dari penyakit).
Seseorang itu dikira muslim sekiranya ia mendirikan solat dengan sempurna dan fasik jika ia meninggalkannya dengan sengaja. Anologi solat yang pernah kita dengar semasa di bangku sekolah yang mungkin kelihatannya seperti keanak-anakan tetapi boleh menyedarkan anak-anak kecil atau remaja yang liat bersolat, malah 'anak-anak' yang telah dewasa ialah yang berbentuk seperti ini:
ISLAM ITU TERTULIS DENGAN PERKATAAN DAN HURUF -- I S L A M
yang ditranslasi sebagai solat lima waktu:
I -- ISYAK
S -- SUBUH
L -- LOHOR (panggilan org kg - ZUHOR)
A -- ASAR
M --MAGHRIB
Maka dalam peringatan / tazkirah beranalogi ini, sekiranya kita seorang yang mendirikan semua solat yang lima, maka jadilah kita seorang ISLAM yang sempurna (markah penuh 5 per 5)..dalam ibadah yang berkaitan solat (sahaja), kerana semua huruf dalam ISLAM boleh kita claim dari SOLAT SUBUH HINGGA ISYAK YANG KITA DIRIKAN.. Sekiranya kita ada meninggalkan solat, contohnya solat maghrib, maka kita hanya mengerjakan 4 waktu sahaja dan sepertinya keIslaman kita belum sempurna dan hanya layak di gelar orang ISLA dan bukan ISLAM, kerana huruf M - maghrib kita tiada kerna kita tidak kerjakan solat itu. (Sekiranya Isya' tidak kita buat, kita hanya layak menjadi orang SLAM, zuhor tinggal- ISAM, zuhor dan asar tiada -ISM dan seumpamanya) . Layakkah kita bergelar Islam, jika kita langsung tidak mengerjakan solat? Ibarat kita di gelar orang Haji, tapi tidak pernah mengerjakan haji ke Mekah. Tidakkah kita malu bergelar haji tapi haji palsu?
Pepatah Inggeris ada mengatakan Live up to standard, bermaksud kita hidup biarlah mengikut gelaran, taraf dan keupayaan kita, dan standard Muslim (Islam) ini tinggi darjatnya dan berat tanggungjawabnya.
Lagikan anak kecil boleh memahami dan sensitif jika dia dikatakan seorang yang bukan betul-betul Islam melalui analogi ini -iaitu sekiranya tidak mendirikan kesemua solat, inikan pula kita yang sudah mukallaf dan bijak pandai. Allah SWT berfirman:"Pelihara lah segala solat(mu), dan (peliharalah) solat wusta (Asar). Berdirilah untuk Allah (dalam solatmu) dengan khusyuk.
Jika kamu dalam keadaan takut (bahaya) maka solatlah sambil berjalan atau berkenderaan. Kemudian apabila kamu telah aman, maka sebutlah Allah (solatlah), sebagaimana Allah telah mengajarkan kepada kamu apa yang belum kamu ketahui". (Al Baqarah: 238-239)
Persoalan yang perlu ditanyakan pada diri anda dan ahli keluarga anda, "Adakah anda serta keluarga telah mendirikan solat dengan sempurna (cukup waktunya) dan khusyuk semasa menghadapNya? " Kalau belum, berazamlah untuk menyempurnakan solat dengan sebaiknya. Semoga kita dibantu dalam beribadah dan mencari keredhaanNya jua.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment