Monday, July 5, 2010

Mazmumah dan Antivirusnya

Sifat Mazmumah adalah sifat-sifat keji yang boleh menghinggapi atau bersarang dalam diri manusia. Contoh sifat-sifat keji lagi negatif itu banyak iaitulah dengki, banyak makan, banyak bercakap, pemarah, bakhil, cintakan kemegahan, cintakan dunia, takabbur,'ujub -bangga diri, riya', dan seumpamanya.

1. Syarrut ta‘am (banyak makan)

  • Iaitu terlampau banyak makan atau minum ataupun gelojoh ketika makan atau minum.
  • Makan dan minum yang berlebih-lebihan itu menyebabkan seseorang itu malas dan lemah serta membawa kepada banyak tidur. Ini menyebabkan kita lalai daripada menunaikan ibadah dan zikrullah.
  • Makan dan minum yang berlebih-lebihan adalah ditegah walaupun tidak membawa kepada lalai daripada menunaikan ibadah kerana termasuk di dalam amalan membazir.

2. Syarrul kalam (banyak bercakap)

  • Iaitu banyak berkata-kata atau banyak bercakap.
  • Banyak berkata-kata itu boleh membawa kepada banyak salah, dan banyak salah itu membawa kepada banyak dosa serta menyebabkan orang yang mendengar itu mudah merasa jemu.

3. Ghadhab (pemarah)

  • Ia bererti sifat pemarah, iaitu marah yang bukan pada menyeru kebaikan atau menegah daripada kejahatan.
  • Sifat pemarah adalah senjata bagi menjaga hak dan kebenaran. Oleh kerana itu, seseorang yang tidak mempunyai sifat pemarah akan dizalimi dan akan dicerobohi hak-haknya.
  • Sifat pemarah yang dicela ialah marah yang bukan pada tempatnya dan tidak dengan sesuatu sebab yang benar.

4. Hasad (dengki)

  • Iaitu menginginkan nikmat yang diperolehi oleh orang lain hilang atau berpindah kepadanya.
  • Seseorang yang bersifat dengki tidak ingin melihat orang lain mendapat nikmat atau tidak ingin melihat orang lain menyerupai atau lebih daripadanya dalam sesuatu perkara yang baik. Orang yang bersifat demikian seolah-olah membangkang kepada Allah subhanahu wata‘ala kerana mengurniakan sesuatu nikmat kepada orang lain.
  • Orang yang berperangai seperti itu juga sentiasa dalam keadaan berdukacita dan iri hati kepada orang lain yang akhirnya menimbulkan fitnah dan hasutan yang membawa kepada bencana dan kerosakan.

5. Bakhil (kedekut)

  • Iaitu menahan haknya daripada dibelanjakan atau digunakan kepada jalan yang dituntut oleh agama.
  • Nikmat yang dikurniakan oleh Allah subhanahu wata‘ala kepada seseorang itu merupakan sebagai alat untuk membantu dirinya dan juga membantu orang lain. Oleh yang demikian, nikmat dan pemberian Allah menjadi sia-sia sekiranya tidak digunakan dan dibelanjakan sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah subhanahu wata‘ala.
  • Lebih-lebih lagi dalam perkara-perkara yang menyempurnakan agama seperti zakat, mengerjakan haji dan memberi nafkah kepada tanggungan, maka menahan hak atau harta tersebut adalah suatu kesalahan besar di sisi agama.

6. Hubbul jah (kasihkan kemegahan)

  • Iaitu kasihkan kemegahan, kebesaran dan pangkat.
  • Perasaan inginkan kemegahan dan pangkat kebesaran menjadikan perbuatan seseorang itu tidak ikhlas kerana Allah.
  • Akibat daripada sifat tersebut boleh membawa kepada tipu helah sesama manusia dan boleh menyebabkan seseorang itu membelakangkan kebenaran kerana menjaga pangkat dan kebesaran.

7. Hubbud dunya (kasihkan dunia)

  • Ia bermaksud kasihkan dunia, iaitu mencintai perkara-perkara yang berbentuk keduniaan yang tidak membawa sebarang kebajikan di akhirat.
  • Banyak perkara yang diingini oleh manusia yang terdiri daripada kesenangan dan kemewahan. Di antara perkara-perkara tersebut ada perkara-perkara yang tidak dituntut oleh agama dan tidak menjadi kebajikan di akhirat.
  • Oleh yang demikian, kasihkan dunia itu adalah mengutamakan perkara-perkara tersebut sehingga membawa kepada lalai hatinya daripada menunaikan kewajipan-kewajipan kepada Allah.
  • Namun begitu, menjadikan dunia sebagai jalan untuk menuju keredhaan Allah bukanlah suatu kesalahan.

8. Takabbur (sombong)

  • Iaitu membesarkan diri atau berkelakuan sombong dan bongkak.
  • Orang yang takabbur itu memandang dirinya lebih mulia dan lebih tinggi pangkatnya daripada orang lain serta memandang orang lain itu hina dan rendah pangkat.
  • Sifat takabbur ini tiada sebarang faedah malah membawa kepada kebencian Allah dan juga manusia dan kadangkala membawa kepada keluar daripada agama kerana enggan tunduk kepada kebenaran.

9. ‘Ujub (bangga diri)

  • Iaitu merasai atau menyangkakan dirinya lebih sempurna.
  • Orang yang bersifat ‘ujub adalah orang yang timbul di dalam hatinya sangkaan bahawa dia adalah seorang yang lebih sempurna dari segi pelajarannya, amalannya, kekayaannya atau sebagainya dan ia menyangka bahawa orang lain tidak berupaya melakukan sebagaimana yang dia lakukan.
  • Dengan itu, maka timbullah perasaan menghina dan memperkecil-kecilkan orang lain dan lupa bahawa tiap-tiap sesuatu itu ada kelebihannya.

10. Riya’ (menunjuk-nunjuk)

  • Iaitu memperlihatkan dan menunjuk-nunjuk amalan kepada orang lain.
  • Setiap amalan yang dilakukan dengan tujuan menunjuk-nunjuk akan hilanglah keikhlasan dan menyimpang dari tujuan asal untuk beribadah kepada Allah semata-mata.
  • Orang yang riya’ adalah sia-sia segala amalannya kerana niatnya telah menyimpang disebabkan inginkan pujian daripada manusia

Bagaimana pula untuk membersihkan diri dari sifat-sifat mazmumah ini?
Diantaranya melalui ilmu tasauf.Ilmu tasauf ialah ilmu yang menyuluh perjalanan seseorang mukmin di dalam membersihkan hati dengan sifat-sifat mahmudah atau sifat-sifat yang mulia dan menghindari atau menjauhkan diri daripada sifat-sifat mazmumah iaitu yang keji dan tercela.

Ilmu tasawwuf bertujuan mendidik nafsu dan akal supaya sentiasa berada di dalam landasan dan peraturan hukum syariat Islam yang sebenar sehingga mencapai taraf nafsu mutmainnah.

Syarat-syarat untuk mencapai taraf nafsu mutmainnah ialah melalui banyak bersabar, banyak menderita yang di alami oleh jiwa.

Siat Mazmumah juga boleh dilawan dan disingkirkan dengan mengamalkan sifat mahmudah melalui mujahadah dan tazkiyatun nafs. Sifat mahmudah itu adalah seperti berikut:

1) Taubat .

2) Khauf ( Takut )

3) Zuhud

4) Sabar.

5) Syukur.

6) Ikhlas.

7) Tawakkal.

8) Mahabbah ( Kasih Sayang )

9) Redha.

10) Zikrul Maut ( Mengingati Mati )

Imam Al-Ghazali r.a. telah menggariskan sepuluh sifat Mahmudah atau terpuji tersebut di dalam kitab Arbain Fi Usuluddin.

Sifat mazmumah dan mahmudah adalah berlawanan, kalau banyak sifat mazmumah maka sedikitlah sifat mahmudah yang dapat subur. Kadang-kadang bila terlalu banyak sifat mazmumah sehinggakan sifat mahmudah langsung tak dapat ruang untuk hidup dan menyubur di dalam diri. Mereka berkadar songsang antara satu sama lain.


Selagi mana sifat Mazmumah ada dalam diri, sifat Mahmudah sukar dapat masuk.Selagimana ada sifat Riya' agak susah

sifat Ikhlas dizahirkan. Selagimana ada sifat kedekut, sifat Pemurah agak susah dipraktikkan.


Virus-virus Mazmumah ini perlu dikikis dengan antivirus. Ia bukanlah dengan menggunakan antivirus-antivirus biasa, tetapi antivirus yang perlu kita install dalam diri kita adalah "antivirus at-taqwa" dan "antivirus Mahmudah". Dengan taqwa barulah diri kita terselamat dari virus-virus degil ni. Mari sama-sama kita memuatturun dan install antivirus-antivirus ini dalam diri kita, tidak mahal tapi perlu pada mujahadah yang tinggi dan berterusan kerana ada virus-virus lain yang sentiasa menyerang kita iaitulah syaitan dan nafsu bissu' (nafsu buruk) kita

sendiri. WaLlahu a'lam


Rujukan: Demi Qalam dan AlAzim.com


No comments:

Post a Comment