1. Adakah anda seorang yang rajin dan pembersih? Jika anda seorang yang rajin, anda akan buat kerja pada masanya dan tidak bertangguh-tangguh, contohnya bila ke tempat kerja, anda tidak berlengah-lengah dan rasa cuak serta malas lagi mengeluh-ngeluh. Bila melakukan tugasan yang diberi, ia akan disiapkan dalam masanya. Jika tidak ditugaskan sesuatu itu pada anda, anda secara sukarela melakukannya pula. Sekiranya demikian, anda sememangnya seorang yang rajin. Jika tidak, masih ada masa dan ruang untuk anda perbaiki diri anda. Biasanya seorang yang rajin dia juga adalah seorang yang pembersih. Tempat-tempat yang bermakna baginya seperti bilik ofis, bilik tidur, malah keseluruhan rumahnya juga akan berada dalam keadaan bersih, kemas dan teratur.
Rajin dan pembersih adalah sifat yang amat baik dalam Islam. Ar Rasul s.a.w. sendiri adalah seorang peribadi mulia yang amat rajin di mana baginda membaiki sepatunya, menjahit bajunya dan membersihkan rumahnya sendiri tanpa disuruh atau menyusahkan orang lain.
2. Adakah anda seorang pemurah dan suka membantu orang lain?
Jika anda seorang yang pemurah, anda senang dan cepat untuk mengeluarkan wang untuk menderma atau menyumbangkan barangan berharga kepada mereka yang memerlukan. Sekiranya anda terdengar sahaja bahawa bantuan kewangan diperlukan untuk membantu rakyat di sesebuah negara seperti Palestin misalnya dan anda bertindak segera menghulurkan wang, maka anda sememangnya berhati mulia dan seorang dermawan. Kedermawan anda tidak semestinya bergantung kepada jumlah wang yang dihulurkan. Asalkan niatnya ikhlas, ia adalah amalan yang diterima di sisi Allah Azzawajalla.
Jika terdengar sahaja insan memerlukan bantuan kewangan, anda cuba untuk mencatit nombor akaun mereka, atau bantuan tenaga dan masa secara sukarela diperlukan anda bersegera menyahutnya walaupun anda agak pokai atau perlu kerehatan, sesungguhnya anda adalah satu dalam seribu. Allah suka orang yang sanggup berkorban demi orang lain terutama yang seagama dan demi mempertahankan Islam. Mereka seperti inilah yang bakal menjadi mujahid pembela tanahair apabila ada musuh menyerang negara nanti. Syahid adalah idaman setiap orang yang bertaqwa kerana mereka tidak akan dihisab. Rasulullah s.a.w ialah seorang yang amat pemurah dan amat tinggi pengorbanannya kepada Islam dan umatnya. Semestinya kita mencontohi baginda.
3. Adakah anda seorang yang bersifat dengan sifat mahmudah
( terpuji dan mulia)?
Sifat-sifat mahmudah yang dimaksudkan ialah seperti berperasangka baik dengan semua manusia, bercakap perkara yang baik serta menjaga lidah dari mengumpat dan mengeji, jujur dan amanah, bertoleransi, penyabar dan tabah, ikhlas, benar dan beramal, menepati masa dan menjaga masa. Selain dari itu adakah anda seorang yang menjauhi dan mengikis penyakit-penyakit hati seperti ujub, riya', hasad dengki, sum'ah, berdendam dan cenderung kepada ilmu yang salah seperti ilmu hitam?
Bersyukurlah sekiranya anda bersifat dengan sifat-sifat yang mahmudah dan menjauhi penyakit-penyakit hati yang senang hinggap pada diri manusia juga manjauhi ilmu yang terlarang di sisi Islam. Kita hendaklah sentiasa bermujahadah untuk memiliki sifat-sifat yang mulia ini kerana ianya bukanlah mudah dek kerana syaitan sentiasa menghasut kita supaya kita bersifat dengan sifat yang mazmumah.
Semakin tinggi keimanan kita kepada Allah, semakin kuatlah pula syaitan akan cuba
menjatuhkan kita ke lembah yang hina dengan memiliki sifat-sifat yang keji diikuti pula dengan melakukan perkara yang dilarang Allah seperti minum arak, berjudi, buat maksiat hatta melakukan pembunuhan dan menganiaya orang lain. Berdoalah kepada Allah supaya kita dapat memiliki sifat-sifat mahmudah ini. Natijahnya jiwa kita akan berasa tenang selalu dan senang untuk beribadah kepada Allah dan berjihad di jalanNya. Wallahu a'lam.
No comments:
Post a Comment